Sweet.. sweet... sweet memory..

Tuesday 18 October 2011

Aku Dan Mereka...

Anak

Arghh.. apa yang bising ni.. Selama beberapa bulan aku rasa tenang dan nyaman sekali di dalam duniaku ini. Yang aku dengar hanyalah bunyi yang berirama yang tidak aku tahu dari mana. Aku ingin melihat di mana aku sekarang tapi mataku ini masih belum boleh dibuka. Kemudian aku rasa seperti ada sesuatu yang basah dan kasar menjilat seluruh tubuhku. Hish.. apakah ini? Pertama kali ku rasa begini. Tapi ku rasa satu perasaan yang seronok kerana rasa diriku dibelai dengan kasih sayang. Aku mula berbunyi. Kemudian sesuatu yang membelaiku itu juga turut berbunyi. Entah dari mana seperti ada yang berbisik, inilah ibuku. Ibu? Aku tertanya. Kemudian aku terdengar lagi. Yang membawamu ke sana ke mari selama beberapa bulan, yang dirimu berada dalam dirinya. Yang darinya lah kau mendapat makanan untuk membesar sehingga kini, dan membawa mu dari dunia kecil ke dunia yang lebih besar. Kini aku faham. Aku mula merapatkan diri pada ibu untuk mengucapkan terima kasih. Kemudian aku bagai terbau sesuatu yang enak, yang merangsang deria rasaku untuk merasa. Pantas  mulutku mencari apakah itu, dan naluriku menyatakan inilah makananku di dunia baru ini. Aku terasa leka sekali apabila dapat merasakan keenakan makanan itu.
Suatu hari aku terasa perutku berbunyi. Kenapa ini? Lantas fikiranku teringatkan ibu. Di mana ibu? Aku dapat merasakan hanya ibuku yang boleh menghilangkan bunyi perutku ini. Aku juga teringat makanan yang enak yang keluar dari perut ibuku itu. Tapi aku tak dapat menghidu bau ibuku. Suaranya pun aku tidak dengar. Aku cuba memanggil, tapi tiada yang membalas panggilanku. Apa lagi yang aku boleh buat selain menunggu ibu datang. Aku menunggu, menunggu sehingga aku hampir terlelap.
Namun tiba-tiba ada lagi sesuatu yang mengejutkan aku. Aku bagai terasa ada sesuatu yang menitis di badanku. Dan setiap titisan itu juga membuat aku rasa dingin. Makin lama titisan itu makin banyak. Ibu... ibu... Tolong aku ibu.. Apa yang boleh aku buat.. Aku cuba bergerak tetapi perjalananku terhad. Aku melangkah ke hadapan, namun aku gagal kerana ada dinding yang tinggi dan licin di hadapan ku. Belakang juga begitu. Aku ke kiri, melangkah beberapa tapak namun titisan itu masih mengejarku. Aku ke kanan, sama juga. Aku terus menjerit memanggil ibu, agar ibu dapat membawaku lari dari titisan ini, yang membuatku rasa makin dingin dan tubuhku mula menggigil. Ibu... ibu... Kenapa ibu biarkan aku di sini...

Ibu

Suatu hari, bagai ada kelainan dalam diriku. Seakan-akan ada sesuatu yang bergerak-gerak dalam perutku. Apakah ini? Sakitkah aku? Aku juga merasa amat penat sekali. Huh... Aku cuba membiasakan diriku dengan kelainan ini. Makin hari sesuatu itu bukan makin hilang, malah semakin membesar dan memberat dalam perutku. Hendak berjalan pun aku tidak larat. Bagaimana aku mahu membuang ia dari dalam perutku?
Suatu petang aku merasakan sakit perut yang amat sangat. Aku mula gelisah. Ke sana ke mari aku berjalan. Sakit itu makin lama makin kuat. Dan aku bagai terasa inilah masanya sesuatu dalam perutku itu akan keluar. Aku cepat-cepat mencari tempat yang sesuai, tersembunyi dari pandangan mereka yang lain. Puas aku menahan kesakitan, kemudian keluarlah sesuatu dari dalam perutku. Arrghh... Bagai ringan sekali perutku selepas ia keluar dari dalam perutku. Ia mula berbunyi. Eh.. rupanya tak ubah seperti aku. Bunyinya juga hampir sama. Tapi badannya kotor. Dipenuhi cecair dan lendir jernih dan merah. Uish... kotornya kamu. Mari sini aku bersihkan. Lantas aku pun menjilat-jilat seluruh tubuhnya. Kecil benar kamu ini. Siapa kamu? Semasa aku membersihkan tubuhnya, aku merasakan satu perasaan yang halus meresap ke dalam tubuhku. Seperti ada naluri keibuan yang terbit dari dalam jiwaku. Adakah aku sudah bergelar ibu? Jadi ini anakku? Ya, aku yakin dengan firasatku ini. Ini anakku. Ia juga mula bergerak2 mendekatiku dan menggesel2 di perutku. Eh.. apa yang dia cari. Kemudian dia mula menghisap perutku. Aduh... sakitlah si kecil. Tapi aku melihat dia seperti selesa dan leka dengan perbuatannya. Maka aku pun membiarkannya. Tambahan pula aku sudah keletihan dan aku rasa seperti mahu tidur sahaja.
Hari ini aku keluar seperti biasa, mahu mencari makanan yang boleh aku makan. Hari ini di mana pula aku nak letakkan anakku ini. Aku sudah biasa berpindah randah, maka aku rasakan anakku juga perlu begitu. Semalam ada sesuatu yang besar meletakkan aku dan anakku dalam rumah kertas. Memang selesa, lantainya berlapik kain menyebabkan aku dan anakku tidak kedinginan. Tapi aku tidak betah berada dalam rumah itu lama-lama. Pergerakanku amat terhad. Setelah puas meninjau, aku lihat bawah pokok itu amat sesuai. Walaupun matahari terik, keadaan di situ terlindung dari panas. Lagipun di bawah pokok itu ada ruang yang muat dengan anakku. Dindingnya juga sejuk. Memang ruang itu menjadi tempat aku dan abang-abangku berehat di waktu tengahhari. Lantas aku mengangkat anakku keluar dari rumah itu dan ku letakkan dalam ruang itu. Tempat itu cukup panjang. Puas untuk anakku bergerak. Kemudian aku memulakan perjalanan. Aku tiba di tempat yang biasa aku mendapatkan makanan dan menunggu mereka itu pulang.
Tidak berapa lama kemudian, aku mendengar suara dari dalam rumah itu. Pasti mereka sudah pulang. Dan tidak lama lagi pasti aku mendapat habuan. Aku menunggu dengan sabar. Memang betul tekaanku. Satu dari mereka membuka pintu dan menaburkan makanan yang rangup dan lazat itu. Dengan berselera aku menikmati makanan itu. Di saat aku leka dengan makanan itu, tiba-tiba hujan turun. Ah.. itu perkara biasa. Aku teruskan saja makan kerana aku khuatir makanan itu akan habis dimakan oleh mereka yang lain. Aku sudah tidak ingat perkara lain lagi.

Aku

Apabila pulang dari pejabat, aku tidak sabar menuju ke dapur. Aku membuka pintu. Ada pun Si Tina di sini. Tapi mana anak dia? Melihat dia, Si Putih dan Si Manja mengiau-ngiau dengan kuat, aku lantas memberi mereka makanan. Namun di samping itu mulutku membebel marahkan Si Tina kerana mengangkat anaknya keluar dari kotak yang aku sediakan. 
Tiba-tiba hujan turun. Aku bertambah cemas mengingatkan anak-anaknya. Dalam keadaan cemas dan bunyi hujan menimpa bumi itu, aku bagai mendengar bunyi mengiau yang halus. Aku meninjau-ninjau dan akhirnya aku terlihat. Aku lantas menjerit. "Abaaaang, anak kucing tu dalam longkang..." Aku juga mula terasa seperti air mataku mahu keluar. Dalam keadaan aku sendiri yang juga membawa anak di dalam perut, tidak pantas untuk aku selamatkan mereka. Suamiku terus datang dan dia terus meredah hujan. Dia mengangkat anak-anak yang tidak berdosa itu masuk ke dalam rumah kami. Kemudian dia ambil kain dan kami sama-sama mengelap bulu anak kucing itu. Setelah itu kami balut seluruh tubuhnya dengan kain itu, agar dia terasa panas. Anak itu terus mengiau. Si Tina, bagaikan baru tersedar yang dia telah menjadi seorang ibu. Setelah melihat anak itu bersama kami, barulah dia tinggalkan makanan tadi dan datang kepada anaknya.

Anak

Di saat menahan kedinginan itu, aku merasa ada sesuatu yang mengangkatku. Aku sangkakan ibu telah datang, tapi bila ku lihat, lain pula bentuknya. Kemudian aku tidak lagi merasakan titisan yang dingin itu mengenai tubuhku. Kemudian dia itu, bersama satu lagi yang sama bentuknya, mengelap tubuhku dengan kain. Bagai kurang sedikit dinginnya. Kemudian aku dibaluti dengan kain itu. Barulah aku terasa selesa. Aku lantas berbunyi mengucapkan terima kasih.
Seketika kemudian, aku mendengar suara ibuku. Oh.. Ibu masih ada rupanya. Tadi aku sangka ibu telah buang aku dari hidup ibu, kerana ibu sanggup membiarkan aku dibasahi titisan dingin itu. Mujur ada mereka ini yang menyelamatkan aku, ibu.

Ibu

Di saat leka menikmati makanan, aku bagai terdengar sesuatu bunyi. Apabila kulihat ke dalam rumah mereka itu, barulah ku tahu itu suara anakku. Hah... anak? Oh Tuhan, aku terlupa aku sudah ada tanggungjawab yang perlu ku jaga. Barulah ku tinggalkan makanan yang lazat itu. Kesian anakku. Maafkan ibu, sayang.. Terima kasih juga kepada mereka yang menyelamatkan anakku ini.

Aku

"Tina.. Tina.. Orang dah letak hang duk dalam kotak dengan anak hang, awat hang bawak keluaq. Pastu pi buh dalam longkang. Mujur kami dah balik kerja. Kalau tak anak hang ni mati kesejukan dalam longkang. Kena hujan lama, mau hanyut anak hang". Aku membebel memarahi ibu kucing itu, bagaikan dia faham. Si Tina hanya memandangku, bagai memohon maaf. Suamiku juga turut memarahi Si Tina. Tapi apalah yang ibu muda seperti dia faham. Mungkin belum puas lagi Si Tina ini menikmati zaman remajanya. Dia hanya memandang aku dan suamiku dan mengiau. Kemudian suamiku letakkan kembali Si Tina dan anaknya di dalam kotak, dan Si Tina mula menyusukan anaknya. Anak-anaknya juga kelihatan rakus sekali menghisap susu. Pasti mereka amat lapar. Akhirnya Si Tina dan anak-anaknya terlelap di dalam kotak itu...

4 comments:

  1. C Tina tu kucing rupanya...hahahah
    cian anaknya kesejukan..
    so Sweet citer ni....

    ReplyDelete
  2. sedihla pulak...sib baik x banjir kt sini heheh...
    jaga elok2 tau kittens tu...kalau rs x mampu jaga, bw balik sini la bg kak jaga heheh...

    ReplyDelete
  3. nisa.. kisah benar ni.. kucing kat rumah akak tu la.. tapi akak tambah2 garam dan serbuk perasa sikit.. hehe..

    ReplyDelete
  4. kak.. payah jugak nak jaga.. tina tu memang tabiat suka bawak anak dia merata2.. mcm omey jgk..

    ReplyDelete